suria

JKM Kelantan Tawar Rumah Perlindungan Kepada Keluarga, Mangsa Liwat

KOTA BAHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan telah menawarkan sebuah rumah perlindungan untuk keluarga dan kanak-kanak lima tahun yang didakwa menjadi mangsa liwat, bagi menghalang mereka daripada diganggu dan diancam oleh keluarga suspek.

Pengarahnya Mohamad Hanafi Maulud berkata jabatan itu bersedia untuk memindahkan mereka selepas tertekan dengan ahli keluarga suspek yang mahu menyelesaikan kes itu secara senyap.

"Kami telah menghantar seorang kaunselor untuk kanak-kanak itu dan keluarganya. Jika mereka berasa tidak selesa dengan situasi ini, jabatan ini terbuka untuk memindahkan mereka sehingga kes ini ditutup.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi keluarga itu daripada bahaya," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai ibu mangsa yang mahukan keadilan selepas kes itu dilaporkan berlarutan sejak sebulan lalu tanpa penyelesaian.

Suri rumah berusia 29 tahun yang berasal dari Peringat itu mendakwa dia telah diancam dan diganggu oleh keluarga suspek untuk menyelesaikan perkara ini sebelum perkara ini dibawa ke pengetahuan media lagi.

"Saya berhasrat untuk melihat kes ini berakhir dan sejak kejadian itu, anak saya tidak lagi sama seperti dulu. Kerosakan telah dilakukan," katanya.

Ibu kepada tiga anak ini mendakwa anaknya telah diliwat oleh seorang saudaranya yang sudah berumur di kawasan belukar dekat  rumahnya pada 20 Julai.

Beliau mendakwa pemeriksaan perubatan di Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian mendedahkan berlaku penetrasi pada dubur anaknya.

Beliau berkata anaknya juga telah membuat pengecaman suspek selepas satu laporan polis dibuat pada 21 Julai.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Polis Baharom berkata polis sedang menunggu laporan penuh perubatan.

Beliau berkata, suspek yang berusia 62 tahun dibebaskan dari tahanan polis kerana faktor umur dan keadaan fizikal selepas ditahan reman selama tiga hari.
JKM Kelantan, mangsa liwat

Artikel Berikut

Artikel Lain