suria

Rahsia Kejayaan Besar Adenan Satem

MENANG 72 kerusi iaitu kira-kira 87 peratus daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah sesuatu yang di luar jangka.

Suasana di bangunan DUN lama mula ceria apabila SPR mengadakan sidang media pertama kira-kira pukul 8.47 malam bagi mengumumkan kejayaan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas menang di 42 kerusi.

Jentera BN mula tersenyum lebar apabila parti itu disahkan menang dua per tiga dengan 55 kerusi sekitar pukul 9 malam.

Aura kemenangan makin dirasai tatkala Tan Sri Adenan Satem melangkah masuk ke Dewan Makan Utama DUN lama untuk mengadakan sidang media selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri.

Bagaimanapun Tan Sri Adenan Satem kelihatan tenang berbanding beberapa pemimpin lain termasuk Yang Berhormat (YB) baharu di DUN Batu Kawah yang juga Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian yang tersenyum lebar di hadapan kamera.

Sesekali Adenan berhenti seketika memberi peluang kepada jurugambar dan penyokong BN yang lain mengambil gambarnya.

Penangan #AdenanFever mengakibatkan pembangkang kalah teruk khususnya DAP yang hilang lima kerusi iaitu di DUN Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau serta satu kerusi baharu Batu Kitang.

Berbanding 2011 apabila DAP berjaya menghantar 12 wakilnya di DUN Sarawak, PRN kali ni menyaksikan parti itu hanya menang di tujuh kerusi.

Malah BN juga berjaya mengurangkan jumlah undi di kawasan kubu kuat DAP di Kota Sentosa, Pending, Padungan dan Palawan.

Formula Adenan dengan menjarakkan diri daripada isu nasional termasuk 1MDB dan imej peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu kejayaan ahli politik berusia 72 tahun itu.

Jentera BN Sarawak sendiri secara keseluruhannya 'memanfaatkan' populariti Adenan yang baharu dua tahun memasuki Pejabat Ketua Menteri dalam siri kempen mereka.

Adenan sendiri dalam kebanyakkan siri ucapan kempennya mengingatkan pengundi bahawa pilihan raya yang diadakan ini adalah demi masa depan rakyat Sarawak secara khusus - ‘Sarawak for Sarawakian’.

Berkali-kali Adenan menjelaskan bahawa Sarawak tiada kaitan dengan 1MDB dan hal politik di semenanjung.

Adenan sebaliknya menegaskan bahawa mandat besar yang dirayunya adalah sebagai ‘perisai’ untuk beliau berhadapan Kuala Lumpur dalam memperjuangkan nasib rakyat Bumi Kenyalang termasuk kuasa autonomi.

Selain itu Adenan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat Cina termasuk mengiktiraf kelayakan UEC dalam perkhidmatan awam negeri dan kelayakan untuk memohon biasiswa Yayasan Sarawak.

Selain itu Adenan juga memberikan peruntukan besar bagi projek luar bandar, perang terhadap pembalakan haram, pembasmian tol, menurunkan tarif elektrik, memperkukuhkan integriti dalam perkhidmatan awam, menghentikan pemberian lesen balak, geran kepada sekolah Cina, autonomi dan pengagihan kuasa, Lebuh Raya Pan Borneo dan banyak lagi.

Di kalangan masyarakat Iban, Adenan dikenali sebagai ‘apai besar’ bernama ‘Adenan anak Satem’.

Ternyata penghormatan itu sepadan dengan mandat peribadi yang diperolehinya.

Pendirian menolak budaya politik semenanjung yang disifatkannya sebagai agresif juga mendorong kepada kejayaan besar #teamAdenan.

Pada tahap ini persoalan yang mula dibangkitkan ialah sama ada kejayaan besar BN Sarawak khususnya dalam mengembalikan keyakian masyarakat Cina mampu menjadi cerminan di peringkat Persekutuan.

BN perlu menjadikan Adenan dan Sarawak sebagai contoh tatkala berhadapan PRU-14 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sarawak, PRN, DAP, BN

Artikel Lain