suria

Peguam Negara Gembira Dengan Tugas, Terima Kritikan Dengan Tenang

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan sejak mula menyandang jawatan lapan bulan lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau gembira dengan tugasnya dan menganggap segala kritikan itu sebagai cabaran.

Katanya selagi tugasnya melibatkan undang-undang, iaitu bidang yang amat dicintainya, beliau akan sentiasa menganggap semua itu sebagai cabaran kerana sememangnya amat menyukai cabaran.

Beliau berkata demikian apabila diminta Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang menjelaskan perasaannya sepanjang menyandang jawatan Peguam Negara sejak lapan bulan lepas pada sesi soal jawab selepas peguam negara itu menyampaikan ceramah jamuan tengah hari bertajuk "Media dan Undang-undang: Perspektif Negara" kepada editor dan pengamal media di sebuah hotel di sini, Selasa.

Mohamed Apandi berkata sepanjang lapan bulan menyandang jawatan itu bukanlah tempoh yang 'dahsyat atau kondusif', tetapi suatu tempoh yang mencabar serta menguji kesabarannya.

"Saya sentiasa meminatinya, saya gembira dengan tugas saya dan saya menghadapi kritikan secara tenang," katanya.

Mohamed Apandi adalah hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai tahun lepas, menggantikan Tan Sri Abdul Gani, yang perkhidmatannya ditamatkan atas sebab kesihatan.

Menjawab soalan editor The Sun, R.Nadeswaran, mengenai keperluan undang-undang sub judice dikekalkan kerana ia dianggap mewujudkan jurang dalam bidang kewartawanan, beliau berkata undang-undang itu perlu dikekalkan bagi mengelak seseorang hakim daripada dipengaruhi.

"Hakim adalah manusia, mereka seharusnya membuat keputusan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tetapi apabila mereka bersidang, seseorang hakim berdepan dengan begitu banyak penyokong, contohnya tertuduh akan merenung tajam kepadanya, ada hakim memberitahu saya, membayangkan kepada saya, bahawa mereka berasa takut. Terdapat unsur faktor takut di sana.

"Hakim juga adalah manusia, mereka mempunyai faktor takut, maka bagi mengelaknya, adalah lebih baik prisnip sub judice terus dikekalkan," katanya.

Mohamed Apandi berkata hakim bukan sahaja berkemungkinan terpengaruh oleh tulisan, malah kehadiran orang ramai di dewan mahkamah juga boleh menimbulkan rasa takut dalam diri mereka.

Sub judice bererti orang ramai dilarang daripada membincangkan sebarang kes yang masih dalam pertimbangan kehakiman.

Pada sidang berita kemudian, Mohamed Apandi berkata wartawan berhak untuk menyaman ahli politik dan menteri yang menafikan kenyataan mereka dengan berkata wartawan tersilap petik kata-kata mereka.

Menurutnya sekali-sekala, wartawan perlu mengajar ahli politik dengan membawa kes seperti itu ke mahkamah, tetapi katanya bukan semua ahli politik bersikap demikian.

Mohamed Apandi berkata kertas siasatan (IPs) yang dibuka mengenai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum dirujuk kepada beliau untuk tindakan selanjutnya.

"Saya belum lagi melihat IPs itu. Mungkin polis telah menghantar kertas itu kepada pegawai saya di Jabatan Pendakwaan. Walau apa pun, sekiranya mereka (pendakwa) ingin membuat sebarang keputusan, mereka kena rujuk kepada saya. Tetapi setakat ini, mereka belum merujuk kepada saya lagi," katanya apabila ditanya tentang perkembangan kes itu.

Pada 16 April, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menunggu keputusan Peguam Negara mengenai empat kertas siasatan yang dibuka mengenai Tun Dr Mahathir.

Mengenai penubuhan Majlis Media, Mohamed Apandi berkata draf undang-udang tentang perkara itu telah siap disediakan tetapi beliau perlu mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh (media) kerana terdapat beberapa penentangan mengenainya.

"Draf undang-undang itu sudah siap, tapi kami tetap memerlukan maklum balas anda kerana kami dapati ada beberapa penentangan dari pihak anda sendiri. Jadi, saya hendak tengok dan kaji apakah yang ditentang itu, mungkin kami boleh atasi tentangan itu, kami masih di peringkat menyediakan draf, kami boleh memindanya, kami boleh memberi ruang bagi apa jua tentangan yang ingin anda katakan," kata beliau.

Ditanya sekali lagi tentang kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohamed Apandi berkata beliau telah mengarahkan siasatan lanjut dibuat mengenai personaliti lain yang mungkin terlibat dalam perkara itu.

"Dan saya masih belum menerima kembali IPs berhubung arahan itu, sehingga sekarang, ia belum dikembalikan lagi," jelas beliau. - BERNAMA

Artikel Lain