suria

Haram Vape: Jabatan Kesihatan Perjelas Asas Titah Sultan Johor

PETALING JAYA: Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub berkata rokok elektronik atau vape mempunyai kesan sampingan sama ada kepada penghisap mahupun orang sekeliling.

Menurut Dr Mohd Khairi, kandungan bahan kimia seperti propylene glycol, glycerin, bahan perasa, kehadiran logam berat dan partikel ultra halus boleh membahayakan kesihatan.

"Propylene glycol boleh menyebabkan iritasi kepada mata, tekak dan saluran pernafasan manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan penyakit asma. Apabila ia dipanaskan akan menghasilkan bahan yang membebaskan formaldehyde yang kemudiannya menyebabkan kanser.

"Kajian juga mendapati kehadiran logam berat ketika menggunakan vape. Ini merupakan tindak balas cecair yang terendam di dalam gelungan dawai di bahagian atomiser vape," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskkandar bagi menjelaskan kepada rakyat Johor mengenai asas larangan vape di negeri berkenaan.

Pada Ahad, The Star melaporkan bahawa Sultan Ibrahim sebagai bertitah agar larangan penjualan vape dikuatkuasakan dan semua premis yang menjual vape diberi tempoh sehingga 1 Januari depan untuk menutupnya.

Selain itu Dr Mohd Khairi berkata amalan vape juga akan menggalakkan budaya merokok khususnya di kalangan bukan perokok.

"Sebuah kajian menunjukkan bahawa remaja dan belia yang tidak pernah merokok tembakau tetapi menggunakan vape adalah 8.3 kali lebih cenderung menghisap rokok tembakau selepas setahun berbanding mereka yang tidak pernah menghisap vape.

"Kajian juga mendapati mereka yang menggunakan vape menunjukkan kesukaran untuk menghentikan tabiat merokok akibat kebergantungan kepada nikotin," katanya.

Menerusi kenyataan itu juga Dr Mohd Khairi menyatakan mengenai bahaya wap yang dihasilkan daripada vape.

"Tidak semua wap atau vape yang dihisap oleh seseorang itu masuk ke dalam paru-parunya. Sebahagian besar wap tersebut serta bahan kimia di dalamnya akan dihembus keluar.

"Oleh demikian orang yang berada di sekeliling boleh turut sama menghisap bahan kimia yang ada di udara persekitaran," katanya.

Dr Mohd Khairi juga menjelaskan kebimbangan mengenai penyalahgunaan peranti vape untuk mengambil dadah.

"Peranti vape sememangnya boleh disalahgunakan dengan melarutkan apa-apa dadah di dalam cecair vape seperti ecstasy, amphetamines, methamphetamines dan sebagainya.

"Kemungkinan perkara yang sama berlaku di negara ini tidak dapat dinafikan berdasarkan laporan akhbar tentang kehadiran dadah merbahaya dalam cecair vape. Oleh itu vape merupakan laluan kepada penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel Lain