suria

Makmal Dadah Guna Kepakaran Iran Dibongkar

GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal dadah dan melumpuhkan satu sindiket tempatan yang menggunakan khidmat kepakaran warga Iran dalam serbuan di tiga lokasi di Pulau Pinang.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan empat lelaki termasuk dua warga Iran dan seorang wanita, berumur antara 24 dan 58 tahun, serta merampas 324kilogram cecair dadah jenis syabu bernilai RM20 juta serta peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi 10.20 malam Khamis lepas (20 Ogos) dan 12.20 pagi pada Jumaat itu adalah hasil risikan dan intipan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

"Pasukan itu menyerbu tiga lokasi di Pulau Pinang, iaitu sebuah rumah kedai di Bukit Mertajam dan diikuti di bahagian pulau iaitu di Jelutong dan George Town.

"Dalam serbuan di Bukit Mertajam, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga Iran berusia 29 dan 27 tahun manakala seorang lagi lelaki ditahan di Jelutong dan wanita berusia 52 tahun ditahan di George Town," katanya dalam sidang akhbar di sini, Ahad.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 27 Ogos.

Mohd Mokhtar berkata dua warga Iran berkenaan dipercayai sebagai 'roaming chemist', yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dan yang dibawa masuk dan diupah sindiket atas kepakaran mereka membuat dadah sintetik.

"Mereka masuk dengan menggunakan pasport yang sah dan kita akan minta pihak Imigresen untuk mengesahkannya," katanya.

Polis turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai dan pelbagai barangan kemas bernilai RM69,400, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak beberapa bulan lepas memproses dadah untuk pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata sjak Januari hingga 20 Ogos lepas JSJN menjalankan 119,738 tangkapan dadah termasuk 4,537 orang warga asing.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, polis merampas pelbagai jenis dadah sintetik dan tradisional bernilai RM191 juta.

Dalam tempoh itu, polis turut menyita harta bernilai RM44 juta dan harta yang dilucutkan bernilai RM4.5 juta, katanya.

"Tindakan ini jelas mempamerkan komitmen dan kesungguhan pihak polis bagi membendung masalah dadah negara kepada pengetahuan masyarakat.

"Oleh itu, JSJN mengucapkan terima kasih kepada pihak wartawan atas kerjasama jitu yang secara tidak langsung memberi keyakinan kepada orang ramai untuk turut sama memberi sokongan kepada polis bagi memerangi musuh utama negara ini secara lebih berkesan lagi," katanya.

Polis, Sintetik, Dadah, Iran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain