suria

Tambah Anggota PGA Untuk Kawal Sempadan

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah kekuatan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) jika keadaan memerlukan di sempadan Malaysia-Thailand, susulan penemuan 139 kubur dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian, Perlis.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan lagi di kawasan sempadan berkenaan.

"Setakat ini, anggota PGA yang ditugaskan di sempadan mencukupi tetapi sekiranya keadaan memerlukan, kita akan tambah lagi.

Malah kita akan mengadakan rondaan yang lebih kerap lagi, susun semula balik atau meneliti semula tahap kawalan di bahagian sempadan tersebut, untuk kita memastikan kawasan itu dijaga dengan betul," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Asas PGA di Padang Kawad Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta, di sini, Selasa.

Muhammad Fuad berkata setakat ini, 300 pegawai dan anggota PGA ditugaskan untuk meronda dan menjaga kawasan sempadan negara terbabit menerusi 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' yang dijalankan sejak 11 Mei.

"Kita juga telah menjalinkan kerjasama yang baik dengan penguatkuasa di Thailand untuk menjalankan operasi ini," katanya.

Selain itu, Muhammad Fuad berkata pihaknya menghadapi beberapa halangan untuk menjalankan rondaan di kawasan berkenaan akibat keadaan muka bumi termasuk cerun yang dalam.

"Sangat mencabar untuk kita sebab nak pergi ke kawasan itu sahaja dah memakan masa sehingga dua hingga tiga jam, itu sebab kalau ada wartawan yang mengikuti operasi (Op Wawasan Khas) itu, perlu memakai pakaian yang sesuai," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata sehingga kini, PDRM mempunyai kira-kira 12,000 anggota PGA di seluruh negara dan akan membuka pengambilan baharu bagi jawatan itu lebih daripada 1,000 lagi kepada orang ramai.

"Ini kerana PGA antara barisan yang penting dalam PDRM. Mereka terlibat dalam operasi sebenar sekarang ini termasuklah Esszone (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).

Bukan itu saja, mereka terlibat dengan 'acara utama', contoh baru-baru ini Sidang Kemuncak Asean 2015 yang melibatkan kawalan di hotel-hotel, tempat persidangan di Kuala Lumpur dan Langkawi, semuanya meliputi anggota PGA," katanya.

Terdahulu, Muhammad Fuad turut menyampaikan sijil tamat kursus asas PGA siri 1/2015 yang disertai 54 pegawai kanan dan 279 anggota pangkat rendah daripada batalion PGA dari seluruh negara, bermula sejak 1 Mac lepas.

Peserta terbaik bagi anggota pangkat rendah dianugerahkan kepada Lans Koperal Muhammad Saiful Izuan Saleh (terbaik jasmani), Lans Koperal Asmawi Kamis (terbaik tembak), Koperal Redzuan Durudin (terbaik teori) dan Lans Koperal Sazri Lajipan (terbaik keseluruhan).

Manakala peserta terbaik bagi pegawai ialah Inspektor S.Sivalingam (terbaik jasmani) Inspektor Suraya Hany Abd Rahim (terbaik tembak), Inspektor Rozilan Mat Yusoff (terbaik teori) dan Inspektor Shahar Omar (terbaik keseluruhan).

PGA, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain