suria

"Fahami GST Sebelum Kata Saya Bodoh"

Ahmad memberi penerangan mengenai GST kepada penduduk Taman Pauh, Rabu.

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menafikan adanya pemimpin tinggi Umno memberi amaran supaya beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, tiada sebab untuk beliau berhenti bercakap mengenai sistem cukai itu sama ada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin atau Permatang Pauh.

"Jika saya berhenti bercakap mengenai GST, kemungkinan besar pembangkang akan menang," katanya.

Ahmad berkata, pemimpin yang menghinanya dengan menyatakan beliau tidak tahu mengenai GST atau bodoh sepatutnya menyelidik lebih mendalam mengenai sistem percukaian itu.

"Mereka perlu memahami GST sebelum mengatakan saya bodoh," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata, GST sebanyak enam peratus yang dikenakan adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus sebelum ini.

"Jadi, kenapa perlu memansuhkan GST," soalnya sambil menambah banyak barangan termasuk kereta, perabot dan barangan pembinaan menurun kerana pelaksanaan GST.

Beliau juga menasihatkan pihak yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menjelaskan semua perkara berkaitan GST, bukan aspek negatifnya sahaja.

Dilaporkan menerusi sebuah saluran televisyen, pemimpin Umno memberi amaran kepada Ahmad supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan GST di kedua-dua lokasi PRK kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional.

Ahmad Maslan, GST, SST

Artikel Lain