suria

Pengerusi dan CEO Syarikat Didakwa Tipu Jual Beli Kereta Mewah

KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat menjual kereta mewah terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu pelanggannya berhubung jual beli kereta tahun lepas.

Al-Fayed Abdullah, 39, dan B. Paramananthan, 39, didakwa menipu lapan pelanggannya dengan mendorong mereka menyerahkan kereta masing-masing iaitu BMW520i, Volkswagen Golf 1.4 TSI, Honda CR-V 2.0, Kia Optima K5, Toyota Estima 2.4,Honda Hybrid CR-Z, Audi A5 dan Mercedes-Benz C180K kepada kedua-dua tertuduh yang mana mereka tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat syarikat AX Motor (M) Sdn Bhd di Jalan Pahang Kecil, Off Jalan Pahang, Wangsa Maju di sini, antara 25 Jun 2014 dan 29 Nov 2014.

Al-Fayed dan Paramananthan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak menawarkan setiap tertuduh ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sebaliknya, peguam P. Taneswaran yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun Majistret Saifulakmal Said memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Jual beli kereta mewah

Artikel Lain