suria

Kerajaan Buka Pangkalan Hadapan Di Kathmandu - Hishammuddin

Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuban, Kathmandu.

ROMPIN: Kerajaan telah membuka sebuah pangkalan operasi hadapan bagi pasukan Malaysia menghulurkan bantuan kemanusiaan dalam Operasi Mencari dan Menyelamat Mangsa (SAR) akibat gempa bumi di Nepal, di kemjurutera bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu.     

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata seramai 50 orang anggota pasukan Malaysia yang terlibat dalam operasi berkenaan akan bertugas di daerah Hanomandhoka, Kathmandu.

Mereka terdiri daripada enam anggota pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia, dua pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), 26 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).   

"Selain itu pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (7), MERCY Malaysia (7) dan seorang pegawai Program Makanan Sedunia PBB di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin pada Rabu.    

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin.     

Hishammuddin, yang juga Ketua Penyelaras Jentera Barisan Nasional pada PRK Rompin berkata beliau juga berasa lega kerana pesawat Hercules C-130 milikTentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya membawa kembali seramai 102 rakyat Malaysia yang berada di Nepal.

Hishammuddin berkata beliau mendapat maklum balas dari Duta Khas Malaysiake India, Datuk Seri S.Samy Vellu yang mencadangkan agar satu pusat pengumpulan barangan untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Nepal dibuka.   

Sehubungan itu kerajaan telah mengaktifkan pusat pengumpulan barangan di Gudang Kargo ke-2 Pangkalan TUDM Subang dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang.    

"Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Kapten Faizal Mohd Nor dan Lt Kolonel Omar Dawami menerusi talian 019-4562271 dan 019-9882494 untuk tujuan tersebut.   

"Bantuan boleh berupa barangan keperluan harian mangsa tetapi kita masih menunggu laporan lengkap (daripada wakil kita) berhubung apa yang benar-benar diperlukan oleh mangsa di Nepal," katanya.   

Nepal dilanda gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter menggegarkan ibu negara Kathmandu dan bandar Pokhara pada jam 2.56 petang (waktu Malaysia) Sabtu lalu.    

Tragedi gempa bumi yang dianggap paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu setakat ini telah mencatatkan kira-kira 5,000 kematian dan lebih 8,000 orang cedera.

Artikel Lain