suria

GTP Berada Pada Landasan Tepat Dalam Kembara Lima Tahun

Idris Jala.

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Kerajaan (GTP) berada pada landasan yang tepat dan memberi impak positif kepada jutaan rakyat Malaysia sepanjang kembara lima tahunnya bermula 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berharap momentum kejayaan GTP sehingga 2014 akan terus kekal untuk tahun-tahun berikutnya.

"Kami telah mencatat kemajuan yang signifikan sepanjang lima tahun lepas, malah dalam beberapa bidang, kami mencipta perubahan transformasi yang amat besar," katanya dalam Laporan GTP Tahun 2014.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, lima tahun yang telah berlalu menuntut daya tahan rakyat dan komitmen kerajaaan melaksanakan agenda nasional itu.

Dengan pencapaian itu sehingga 2014, kerajaan akan membawa GTP ke tahun 2015 dengan berusaha mengekalkan dan memperkasakan mementum program itu, katanya dan menurutnya tahun 2015 juga akan membuka halaman baharu dalam pelan hala tuju GTP sehingga menjelang 2020.

Bagi laporan tahunan GTP 2014, pencapaian  beberapa individu daripada jutaan rakyat Malaysia yang menerima impak positif GTP turut dikongsi kisah hidup mereka.

Sebagai contoh, Idris membawa kisah seorang bekas pekerja kilang, Asbdullah Ali, 43, yang meraih manfaat daripada program Azam Tani dengan menjadi seorang pembekal telur dan daging puyuh yang cemerlang.

Usahawan dari Nibong Tebal itu yang dahulunya berpendapatan sekitar RM900 sebulan hasil kerja kilang kini meraih keuntungan kasar sekitar RM6,000 sebulan setelah menyertai program Azam Tani yang merupakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau meninggalkan kehidupan yang sukar apabila menerima bantuan modal sebanyak RM9,000 daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada2013 di bawah NKRA Mempertingkat Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah. 

Asbdullah adalah antara 168,483 rakyat Malaysia yang menerima manfaat daripada program 1 AZAM yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak 2011.

Turut diketengahkan kisah seorang pelajar di negeri Perak yang pemalu bernama Nor Izzati Sabrina yang bercita-cita untuk menjadi peguam namun beliau berhadapan dengan masalah bahasa dan komunikasi.

Namun segalanya berubah apabila pelajar itu memasuki SK Marian Convent, Ipoh yang bertaraf sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang telah berjaya membina keyakinan dirinya  dan mengasah kemahiran komunikasi dan sosial sehingga akhirnya terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan 'choral speaking.'

Nor Izzati Sabrina adalah antara ramai lagi pelajar yang diberi sokongan oleh Kementerian Pendidikan melalui program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) bagi para pelajar tahun satu hingga tiga.

Hasil program yang memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Malaysia dan Inggeris serta numerasi itu, indeks terkini menunjukkan 88 peratus pelajar tahun tiga mahir dalam penguasaan kedua-dua bahasa itu dan 98.9 peratus berkemahiran numerasi.

Idris turut berkongsi kisah pembinaan sebatang jalan raya sepanjang 60kilometer yang menghubungkan pekan Sook dan pekan Sinua di Sabah yang telah mengubah penghidupan 10,000 penduduk sekitarnya yang terdiri daripada kaum Murut dan Dusun.

Antara manfaat besar pembinaan jalan itu ialah ia memudahkan para pelajar daripada 18 buah sekolah sepanjang jalan itu berulang alik dengan selamat dan sempurna berbanding semasa menggunakan jalan hutan dan jalan kerikil.

Pembinaan jalan itu adalah sebahagian daripada 4,553 kilometer jalan raya yang dibina untuk kemudahan masyarakat luar bandar di bawah NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar yang diperkenalkan pada 2010.

Selain itu di bawah pelaksanaan pembangunan luar bandar, sebanyak 336,266 isi rumah juga diberi akses kepada bekalan air bersih dan 129,595 isi rumah menikmati akses bekalan elektrik.

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam laporan itu adalah sebahagian kecil daripada kejayaan sebenar GTP sejak pelaksanaannya dan koleksi pencapaian itu akan terus membesar dari tahun ke tahun.

GTP turut memberi fokus ke arah penambahbaikan sistem pengangkutan awam secara menyeluruh di kawasan bandar seperti perkhidmatan KL Monorail, Transit Aliran Ringan (LRT) dan KTM Komuter selain bas RapidKL dan GO-KL untuk melengkapi infrastruktur Transit Aliran Massa (MRT) yang sedang dilaksanakan.

Sebahagian kecil contoh itu menjadi asas bagi kerajaan meneruskan program GTP pada 2015 dengan semangat baharu demi kepentingan rakyat.

GTP, Datuk Seri Idris Jala

Artikel Lain