suria

GTP: Lebih 5 Juta Penduduk Luar Bandar Nikmati Pembangunan Infrastruktur

Projek BRT Sunway Line.

KUALA LUMPUR: Lebih lima juta penduduk luar bandar mendapat manfaat di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar menerusi kemudahan jalan raya,bekalan air bersih dan elektrik yang disediakan kerajaan sejak 2010.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah membina 4,553 kilometer jalan raya secara keseluruhannya termasuk jalan raya sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Pekan Sook ke Kampung Sinua di Keningau, Sabah.

"Pembinaan jalan itu sekaligus memberi kemudahan kepada murid-murid daripada 18 buah sekolah di kawasan itu selain memudahkan kehidupan sekurang-kurangnya 10,000 penduduk suku kaum Murut dan Dusun," katanya semasa melancarkan Laporan Tahun 2014 GTP dan ETP di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Selasa malam.

Selain itu, beliau berkata seramai 330,000 isi rumah juga menikmati kemudahan bekalan air bersih dan hampir 130,000 yang lain menikmati kemudahan bekalan elektrik tanpa gangguan.

Mengenai NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, Najib berkata bilangan penumpang berulang alik ke Kuala Lumpur melebihi 455,000 orang setiap hari terutama pada waktu puncak.

Sehubungan itu, perkhidmatan bas akan ditambah baik dengan pengenalan Bus Rapid Transit atau BRT Sunway Line yang diuruskan Prasarana Malaysia Berhad, yang dijangka siap Jun ini.

"Perkhidmatan BRT yang pertama di Malaysia itu akan memberi kemudahan kepada 500,000 penduduk di sekitar Subang Jaya dan Bandar Sunway," katanya.

Penduduk sekitar Sri Petaling, Bukit Jalil dan Puchong di sini pula bakal menikmati kemudahan pengangkutan awam yang efisien apabila Projek Fasa 1Program Peluasan Aliran LRT Ampang siap sepenuhnya Oktober tahun ini.

Apabila siap kelak, kemudahan itu dijangka mampu menampung peningkatan bilangan penumpang harian sebanyak 130,000 orang.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter, Najib berkata sehingga tahun lepas, sebanyak 38 tren enam gerabak ditambah yang dapat mengurangkan masa menunggu daripada 30 minit kepada 15 minit.

"Semua itu menunjukkan kerajaan tidak mengira bulu atau pilih kasih tentang lokasi pembangunan, tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyatlah menjadi keutamaan kita," kata beliau.

GTP Pendudukan luar bandar

Artikel Lain