suria

MCA Mula Kenal Pasti Calon PRU-14

Liow Tiong Lai menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ulangtahun ke-66 MCA di Dewan San Choon dekat Wisma MCA, pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: MCA mula mengenal pasti calonnya yang sesuai bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata bakal calon ini diminta sentiasa berusaha menambah baik kemampuan masing-masing berlandaskan prinsip utama untuk merapatkan jurang yang wujud antara mereka dan pengundi.

"Untuk memenangi hati rakyat pada zaman ini, kita perlu melihat kepada pelbagai masalah yang dihadapi orang ramai.

"Kita perlu berkomunikasi dengan mereka, termasuk melalui dialog dengan mereka dan berada bersama mereka ketika susah dan senang. Sekiranya kita tidak dapat mengadakan dialog dengan mereka, kita perlu menghubungi mereka secara peribadi," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-66 parti itu di Wisma MCA, di sini pada Ahad.

Liow berkata untuk membolehkan MCA meraih sokongan, parti itu perlu cuba memahami rakyat dengan sepenuhnya dan menjadikan mereka memahami MCA dengan sepenuhnya.

"Kita perlu memperkatakan tentang realiti politik di Malaysia, tentang menjaga hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia, tentang pembangunan ekonomi, tentang masa depan generasi muda kita dan pendirian MCA tentang isu-isu ini," katanya.

MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU13, 2013.

MCA, Liow Tiong Lai

Artikel Berikut

Artikel Lain