suria

Kesesakan Jalan Pahang Tiada Penyelesaian

KUALA LUMPUR: Warga kota yang menjadikan Jalan Pahang sebagai laluan utama sudah pasti tidak dapat mengelak daripada masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

Masalah lalu lintas di situ bukan hanya berlaku ketika waktu puncak iaitu waktu warga kota pergi dan pulang bekerja, malah boleh dikatakan berlaku pada setiap masa, tidak kira siang dan malam, malah turut berlaku pada hujung minggu dan cuti umum.

Lampu isyarat berhampiran susur keluar ke Bandar Baru Sentul menyebabkan kesesakan itu turut berlarutan ke jalan lain termasuk di Bulatan Pahang dan sebahagian Jalan Tun Razak yang berhampiran.

Lebih membimbangkan, kesesakan itu boleh memberi kesan kepada perjalanan ambulans atau kenderaan yang terdesak untuk cepat tiba di Hospital Kuala Lumpur, Institut Jantung Negara, Pusat Darah Negara dan hospital swasta yang terletak berhampiran.

Seorang pengguna, Norhafizah Saidin, 42, berkata masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Pahang yang turut menyebabkan kesesakan di Bulatan Pahang bukan satu masalah baharu bagi warga kota bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk masuk atau keluar pusat bandar raya walaupun boleh menjadikan Jalan Semarak dan Jalan Ampang sebagai jalan alternatif.

"Seingat saya pada tahun 1990-an ketika baru mula berhijrah ke Kuala Lumpur, Jalan Pahang tidak pernah sunyi daripada kesesakan lalu lintas kecuali pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri kerana pada ketika itu ramai warga kota pulang bercuti di kampung halaman masing-masing," katanya.

Penjawat awam yang berasal dari Lumut, Perak itu berkata beliau terpaksa keluar seawal pukul 6.30 pagi setiap hari untuk ke pejabatnya yang terletak di Jalan Tun Razak bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bagi pemandu ambulans Institut Jantung Negara (IJN), Ahmad Ishak, 58, beliau telah 'lali' dengan keadaan tersebut kerana sudah 18 tahun bertugas menghantar dan mengambil pesakit IJN yang terletak di Jalan Tun Razak.

"Jalan mulai sesak pada waktu orang masuk dan balik pejabat iaitu bermula dari Jalan Genting Klang, bulatan Jalan Pahang hinggalah ke Jalan Tun Razak.

Keadaan bertambah buruk apabila waktu hujan menyebabkan saya kadang-kadang terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke IJN dari Jalan Pahang," katanya.

Ahmad berkata ketika membawa pesakit, beliau akan memasang siren bagi meminta pengguna jalan raya yang lain memberi laluan untuknya.

"Alhamdulillah setakat hari ini saya tidak menghadapi masalah ketika membawa pesakit apabila orang ramai memberi laluan walaupun ketika jalan sesak," katanya.

Pemandu di sebuah agensi kerajaan, Khairulazizi Yahya, 40, berkata kesesakan lalu lintas di Jalan Pahang menyebabkan beliau menghadapi kesukaran setiap kali hendak keluar masuk ke pejabatnya yang terletak di Jalan Tun Razak.

"Jalan penuh sesak dan kenderaan tidak dapat bergerak bermula dari Jalan Tun Razak ke Jalan Pahang menyebabkan saya tidak dapat menghantar pegawai tepat pada masanya ke lokasi yang dituju.

"Kadang-kadang nak keluar dari simpang pejabat pun saya terpaksa menunggu lebih lima minit pada waktu puncak...ia amat memenatkan kerana saya terpaksa berulang alik menghantar petugas dari tempat kerja ke lokasi beberapa kali dalam satu hari," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi berkaitan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini daripada terus berlaku kerana ini bukanlah satu masalah baharu.

Jalan Pahang

Artikel Berikut

Artikel Lain