suria

Enggan Bayar Hutang, Wanita Bakar Lelaki Bangladesh

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Indonesia bertindak nekad membakar seorang lelaki Bangladesh kerana tidak membayar hutang seperti dijanjikan dalam satu kejadian berhampiran Pasar Awam Kampung Baru di Bukit Mertajam, Rabu, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah berkata  siasatan awal mendapati wanita berumur 35 tahun itu marah terhadap mangsa  kerana tidak membayar wang yang dipinjamnya sejak bulan lepas.

"Mereka (wanita dan mangsa) memang mengenali antara satu sama lain dan  difahamkan wanita berkenaan telah meminjamkan sejumlah wang kepada mangsa dan lelaki itu berjanji untuk membayarnya.

"Bagaimanapun sehingga Selasa, mangsa gagal membayar wang yang dipinjam dan lelaki itu juga dikatakan langsung tidak menjawab pangilan telefon wanita  berkenaan sehingga membuatkan dia berang dan bertindak membakar mangsa,"  katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Dalam kejadian 7.50 pagi semalam, seorang lelaki Bangladesh melecur di  beberapa bahagian badan berikutan tindakan wanita terbabit.

Ketika kejadian, lelaki berkenaan dan rakan senegaranya menunggang sebuah motosikal untuk ke tempat kerja di tapak pembinaan itu sebelum ditahan wanita terbabit dan sebaik berhenti, wanita itu terus menyimbah sejenis cecair dipercayai petrol ke arah mereka serta menyalakan api pada sehelai kain dan melemparnya ke arah kedua-dua lelaki itu.

Mazlan berkata polis telah merekod keterangan rakan mangsa yang sempat menyelamatkan diri dan dua saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata mangsa yang berusia 32 tahun dan bekerja kontrak di tapak  pembinaan itu melecur lebih 80 peratus di badannya dan masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

"Lelaki itu belum sedarkan diri dan menurut doktor yang merawatnya, keadaan mangsa stabil walaupun kesan melecur di badannya agak teruk," katanya.

Beliau berkata wanita yang ditahan itu bekerja di sebuah kilang di kawasan Perai dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Polis, Bakar, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain