suria

Tindakan Mahkamah Kepada Bekas Kakitangan MBI Diteruskan - Azmin

SHAH ALAM: Prosiding undang-undang ke atas lapan bekas kakitangan kontrak Menteri Besar Diperbadankan (MBI) diteruskan berikutan keengganan mereka memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata notis 14 hari yang dikeluarkan MBI sebelum ini supaya wang berkenaan dipulangkan semula masih tidak diendahkan malah mereka menghantar pula notis balas untuk menuntut jumlah pampasan lebih besar daripada sepatutnya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata tindakan menghantar notis balas itu tidak memenuhi syarat dalam notis yang dikeluarkan MBI menyebabkan pihaknya terpaksa meneruskan prosiding undang-undang tersebut.

"Kami telah memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka dan jika masih tetap tidak pulangkan pampasan itu, kita tiada pilihan lain selain meneruskan tindakan undang-undang itu malah dalam notis balas itu mereka tuntut pampasan lebih besar pula," katanya kepada pemberita pada Selasa malam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.

Notis 14 hari yang dikeluarkan MBI pada 5 Januari lepas menuntut lapan bekas kakitangan kontrak itu supaya memberi maklum balas terhadap surat tuntutan pemulangan semula wang pampasan berkenaan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin baru-baru ini pula dilapor berkata peguam yang dilantik lapan bekas kakitangan kontrak itu telah menghantar notis balas kepada pengurusan MBI pada 19 Januari lepas dengan memberi tempoh 14 hari untuk menjawab notis berkenaan.

Tindakan tersebut adalah susulan daripada keputusan MBI untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas kesemua bekas kakitangan tersebut kerana tidak memulangkan wang pampasan itu yang didakwa melanggar peraturan kewangan kerajaan negeri termasuk syarat-syarat kontrak yang telah dipersetujui.

Lapan bekas kakitangan kontrak MBI yang berkhidmat semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menerima pampasan antara RM114,870 hingga RM699,000 seorang sebelum ini.

Azmin Ali, MBI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain