suria

Ketua Pembangkang PP Lapor Guru Agama Dakwa GST Haram

Jahara Hamid

BUTTERWORTH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid membuat laporan polis terhadap seorang guru agama, yang didakwa menyatakan Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah haram bagi umat Islam ketika menyampaikan kuliahnya di Masjid Bagan Lebai Tahir di sini pada Jumaat lepas.

Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Teluk Air Tawar kerana kenyataan guru agama berkenaan pada kuliah Maghrib itu boleh menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan GST.

"Saya menerima aduan daripada seorang anggota kariah masjid itu yang mendakwa ustaz berkenaan dalam kuliahnya menyatakan GST haram dikenakan ke atas orang Islam dan hanya boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam.

"Kuliah yang disampaikan ustaz itu bercanggah dengan penjelasan Hukum Islam mengenai GST yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai pelaksanaan GST di Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Jahara turut mendesak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat syarahan ustaz berkenaan dalam kuliah Maghrib itu.

"Saya mohon pihak berkuasa Agama Islam Pulau Pinang memastikan masjid dan surau di negeri ini tidak digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan dalam kalangan orang Islam," katanya.



Artikel Berikut

Artikel Lain