suria

Cendiakawan Islam Perlu Pertahan Kesucian Agama Islam

KUALA LUMPUR: Cendekiawan Islam perlu berada di barisan hadapan mempertahankan kesucian agama yang sering dikaitkan dengan keganasan dan  kekejaman, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata cendekiawan Islam bukan hanya memainkan peranan sebagai penulis dan mengeluarkan pandangan sahaja, tetapi perlu bersuara menolak segala tohmahan bagi mempertahankan kesucian Islam.

"Saya gesa cendekiawan Islam bangun dan berikan dikotomi (penjelasan) kepada istilah IS yang dibawa negara Barat. Jangan hanya duduk di bangku menulis tesis-tesis yang tidak ada kaitan dengan realiti.

"Perlu bangkit menyatakan (kumpulan militan) IS tidak boleh sekali gus (digunakan untuk) merumuskan semua negara Islam sebagai negara jahat yang menggunakan kekerasan dalam perbuatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 di UIAM hari ini yang turut dihadiri Rektor UIAM Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin serta 2,500 warga universiti.

Menurutnya, istilah IS sering kali dikaitkan dengan negara Islam sekali gus mencalarkan kesucian agama itu, serta menjatuhkan imej negara Islam kerana kekejaman yang dilakukan militan IS adalah bertentangan dengan syariat Islam sebenar.

Berhubung UIAM, Rais berkata sebagai sebuah universiti yang dihormati dunia, ia perlu mengelakkan sentimen negatif menular dalam kalangan kakitangan dan pelajarnya.

"Saya tidak mahu lihat kampus bergolak dengan sentimen bukan-bukan. Setiap perjuangan kita mesti mengikut tradisi Nabi Muhammad SAW dan ajaran agama. Kita perlu semaikan budaya budi bahasa dan saling hormat menghormati sesama kita," katanya.

Rais yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, berkata bersesuaian dengan moto UIAM 'Taman Ilmu dan Budi', satu program berterusan iaitu Program Akar Budi telah dijalankan bagi menanam sifat budi bahasa dan hormat menghormati dalam jati diri kakitangan serta pelajar institusi itu.

Pengisian program itu berlandaskan kepada aspek budi bahasa bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya menamatkan pelajaran dengan mendapat segulung ijazah tetapi mempunyai budi bahasa yang tinggi dan sifat hormat menghormati, katanya.

Terdahulu, Rais menyampaikan penghargaan kepada sekumpulan pelajar UIAM yang muncul juara dalam pertandingan reka bentuk 'The Bustan al-Jamiah' iaitu mercu tanda baharu universiti itu.

Kumpulan 'Hijrah Path' yang diketuai Ibrahim Khalid, pelajar tahun akhir jurusan Seni Bina berkata beliau bersama-sama lapan anggota kumpulan itu mengambil masa selama empat bulan untuk melahirkan idea reka bentuk dan lakaran mercu tanda baharu itu.

"Kami kekalkan perkataan 'Iqra' (bacalah) yang digunakan pada mercu tanda sebelum ini, selepas perbincangan dibuat kami tambah replika keris dalam rekaan sebagai ciri keistimewaan bangsa Melayu," katanya.

Kumpulan pelajar itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan.

Islam

Artikel Lain