suria

MH370: 200 Hadir Tahlil Untuk Mangsa

PUTRAJAYA: Kira-kira 200 jemaah menyertai tahlil khas untuk penumpang dan anak kapal pesawat MH370 selepas solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Majlis yang dipimpin Ustaz Ahamd Rijal Ghazali, Imam Masjid Tuanku Mizan diadakan bertujuan memohon keredaan Allah bagi kesemua 239 penumpang serta anak kapal yang diisytihar telah terkorban dalam kemalangan pesawat itu.

Berikutan pengisytiharan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha mengeluarkan kenyataan meminta semua masjid mengambil inisiatif mengadakan majlis tahlil khas pada Jumaat.

Pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines itu yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac tahun lepas.

MH370, MAS, Tahlil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain