suria

Rasuah: Penolong Pegawai Tanah Mengaku Tidak Bersalah

IPOH: Seorang Penolong Pegawai Tanah, yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menerima rasuah, pada Selasa menukar pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini dan mohon dibicarakan.

Muhammad Sharwani Ramli, 35, yang berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan hari ini.

Hakim Madihah Harullah dijadual memberi keputusan hukuman kes itu hari ini.

Muhammad Sharwani memohon untuk melantik peguam dan dibicarakan semasa Madihah memberi peluang kepadanya untuk merayu sebelum hukuman dijatuhi.

Mahkamah kemudian membacakan semula kesemua pertuduhan sebelum menetapkan kes itu disebut semula pada 7 Jan depan.

Pada 2 Disember lepas, tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima rasuah melibatkan cek dan wang berjumlah RM7,572 daripada dua usahawan syarikat pasir sejak tiga tahun lepas.

Muhammad Sharwani didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dengan tiada balasan daripada Hoong Chee Mun, yang tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, pada 9.30 pagi 19 Dis 2011.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa masing-masing menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,124 daripada Hoong Yoet Ming pada 2 petang 23 Feb dan 31 Mei 2012.

Dia turut didakwa menerima sekeping cek bernilai RM1,000 pada 2.30 petang 14 Jun 2012, selain menerima wang tunai RM2,448 pada 2 petang 2 Julai 2012 daripada Yoet Ming.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di No. 168, Jalan Pasir Puteh, Ipoh di sini.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan 2 Dis lepas, tertuduh menerima suapan itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat terlibat yang menjalankan perniagaan memindah pasir sejak Disember 2011.

Muhammad Sharwani didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus.
rasuah, penolong pegawai tanah

Artikel Berikut

Artikel Lain