suria

Keputusan Kes ASP Dituduh Lepaskan Tahanan Ditangguh 11 Februari

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret pada Selasa menangguhkan kepada 11 Februari depan keputusan kes pegawai polis wanita didakwa melepaskan seorang tahanan ketika dibawa ke mahkamah tahun lepas.

Tertuduh Asisten Superintendan L. Chand Kumari, 57, dituduh sengaja melepaskan K. Prabaharan, 45, yang ketika itu dalam jagaan dan kawalannya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 1.50 petang, 9 Oktober tahun lepas.


Penangguhan itu diberikan Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar selepas peguam bela tertuduh, Danny C. Nevarednam memohon kepada mahkamah untuk penangguhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib.

Chand Kumari didakwa mengikut Seksyen 225A (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berkhidmat selama 20 tahun dalam pasukan polis, turut berdepan dakwaan membuat laporan palsu mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 8.05 malam, hari yang sama.

Untuk pertuduhan kedua, Chand Kumari didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya.
ASP, bebaskan tahanan

Artikel Lain