suria

Najib Rakam Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Fuad Hassan

Fuad Hassan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan, yang meninggal dunia tengah malam Ahad.

"Takziah kepada keluarga Dato Fuad Hassan, Ketua Pengarah JASA yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya menerusi twit terbaharu beliau di laman Twitter, Isnin.

Fuad, 62, menghembus nafas terakhir 12.20 tengah malam tadi di sisi anggota keluarganya, setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, awal pagi Ahad.

Allahyarham sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu pada 11.15 malam semalam.

Allahyarham, pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pemuda Umno Selangor dan Pemuda Umno Malaysia serta merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang (BN) selama dua penggal dari 1990-1999.

Allahyarham dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Jasa pada 2009.

Allahyarham merupakan abang kepada pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bukit Teratai, Ampang, selepas Zohor hari ini.

JASA, Fuad Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain