suria

Hari Terakhir Allahyarham Fuad Hassan

Gambar yang dimuatnaik Allahyarham Fuad menerusi laman Facebook beliau pada pukul 3.36 petang Isnin ketika menghadiri program pemukiman KKMM di Kemaman.

KUALA LUMPUR: Kepulangan ke rahmatullah Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas (Jasa) Allahyarham Datuk Fuad Hassan, awal Isnin akibat serangan jantung, amat mengejutkan banyak pihak.

Allahyarham Fuad, 62, menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.20 tengah malam di sisi anggota keluarganya setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pada awal pagi Ahad.

Beliau sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutupan Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu, pada 11.15 malam Sabtu.

Allahyarham Fuad dan 70 pegawai kanan KKMM serta agensi di bawahnya termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), mengikuti sesi pemukiman selama dua hari itu untuk membincangkan transformasi KKMM.

"Arwah Fuad begitu aktif dalam kumpulannya dengan mengambil bahagian menyumbangkan idea untuk merangka strategi arah tuju KKMM tahun depan," kata Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Dalam Negeri Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang turut menyertai sesi pemukiman itu.

Bersama rakan dalam kumpulannya, Allahyarham Fuad mengambil bahagian dengan aktif dalam sesi menjual idea strategik sehingga kumpulan mereka berjaya memenangi hadiah telefon bimbit 'Samsung' daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang menjadi pengadil sesi itu.

Mengimbas semula hari terakhir bersama Allahyarham, Zakaria berkata, Fuad tidak menunjukkan sebarang kelainan pada hari itu, sentiasa membawa iPad dan beg bimbitnya ke mana-mana sahaja, serta amat mesra dengan semua orang yang beliau temui dan berinteraksi semasa pemukiman itu.

Sewaktu jamuan tengah hari, Zakaria berkata, Fuad yang makan semeja dengan beliau dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha II KKMM Datuk Che Azemi Harun, menikmati dengan penuh selera pelbagai juadah termasuk sepinggan daging kambing panggang, gado-gado dan air batu campur.

Pada sesi petang, semua peserta pemukiman menyertai acara bertemu penduduk kawasan Parlimen Kemaman dan semua ketua jabatan diperkenalkan kepada mereka oleh Ahmad Shabery, yang memperkenalkan Allahyarham Fuad sebagai "orang yang paling penting yang sentiasa memerhati dari belakang".

Selesai sesi itu, Fuad bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Datuk Ibrahim Yahya sempat beriadah dengan menaiki motosikal ATV (All Terrain Vehicle) di tepi pantai sambil mengambil gambar.

Menurut Ibrahim dan Zulkefli, Allahyarham juga menggunakan gambar mereka yang diambilnya semasa pemukiman untuk dibuat kulit majalah bercorak antarabangsa serta montaj menggunakan 'apps Moldiv' dan menghantarnya melalui aplikasi 'Whatsapp' kepada mereka, yang "tidak pernah-pernah dibuatnya sebelum ini."

Zulkefli berkata, montaj gambar beliau yang diberi tajuk 'Memory: A precious, happy, delightful, pleasant memory' dibuat oleh Fuad 30 minit sebelum Allahyarham terkena serangan jantung.

Sesi pemukiman dua hari itu diakhiri dengan majlis jamuan malam yang diserikan dengan iringan muzik kombo RTM Pahang.

Namun begitu, kira-kira jam 11.15 malam, hadirin dikejutkan dengan jeritan beberapa pegawai bahawa Fuad telah rebah di kerusinya.

Pegawai Undang-Undang KKMM Yang Zaimey Yang Ghazali yang duduk di sebelah Fuad berkata, beliau tiba-tiba melihat Allahyarham menjadi lemah dan hampir jatuh dari kerusi namun beliau sempat menyambut Fuad.

Allahyarham kemudian dibaringkan di atas lantai dan ramai yang datang membantu, termasuk Ahmad Shabery, dengan mengurut badan serta dadanya.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery mengarahkan agar Fuad segera dibawa ke Hospital Kemaman menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang ada, dan beliau segera diusung beramai-ramai keluar dari dewan makan menuju ke kereta dan dibawa ke hospital kira-kira pukul 11.25 malam.

Selepas keadaan Fuad yang tidak sedarkan diri dapat distabilkan, beliau terus dibawa pula ke HTAA dua jam selepas itu hinggalah kira-kira 24 jam kemudian apabila beliau diisytiharkan meninggal dunia pada 12.20 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham Fuad, yang dibawa dari Kuantan ke Kuala Lumpur, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai, Ampang sebelum Zohor. 


Artikel Lain