suria

Prosiding Mahasiswa Timbul Kekecohan Di UM Ditangguhkan 18 November

Fahmi Zainol

PETALING JAYA: Lembaga Tatertib Universiti Malaya menangguhkan prosiding ke atas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol yang didakwa atas sembilan pertuduhan pada 18 November ini.

Fahmi didakwa kerana terlibat dalam perhimpunan haram sempena pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tunku Canselor UM pada 27 Oktober lalu.

Fahmi yang juga pelajar tahun akhir Fakulti Sastera dan Sosial hadir pada prosiding tersebut bersama tujuh pelajar lain di hadapan lembaga yang dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib UM, Prof Dr Zanariah Abdullah serta tiga panel lain. Prosiding bermula pukul 9 hingga 11 pagi.

Fahmi yang dihubungi mStar Online berkata, dia dan rakan kecewa kerana penangguhan tersebut tidak dimaklumkan kepada mereka.

"Walaupun panel telah memberi alasan kes ditangguhkan ke 18 November atas permohonan saya sendiri, namun mereka tidak memaklumkan kepada kami secara terus dan ia sangat mengecewakan.

"Mereka (panel tatatertib) meninggalkan bilik prosiding tanpa memaklumkan kepada kami sama ada keputusan akan diumumkan atau tidak," katanya.

Bagaimanapun Fahmi memberitahu, dia menyambut baik penangguhan tersebut kerana ia dapat memberikan lebih banyak masa untuk mereka kemukakan bukti dan fakta.

Beliau diwakili oleh pensyarahnya, Prof Dr Azmi Shahrom.

Sementara itu, Ketua Unit Media dan Korporat UM Izzad Zalman Abd Kader dalam satu kenyataan berkata, panel Lembaga Tatatertib telah mendengar penjelasan lapan yang tertuduh berdasarkan kertas dakwaan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

"Selepas mendengar penjelasan daripada kesemua yang didakwa, panel jawatankuasa bersetuju untuk menangguhkan prosiding ke 18 November ini," katanya ringkas.

Jumaat lalu, pihak pengurusan UM dalam satu kenyataan mendedahkan, Fahmi antara sembilan yang didapati terlibat dengan perhimpunan haram yang diadakan di universiti berkenaan.

Kenyataan yang memetik Izzad Zalman daripada Unit Media dan Korporat UM berkata, pihak universiti telah mengenal pasti Fahmi terlibat dalam perhimpunan tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Universiti Malaya

Artikel Lain