suria

Liwat II: Prosiding Selesai, Keputusan Diumum Kemudian

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat selesai mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan menetapkan satu tarikh yang akan diberitahu kemudian untuk penghakiman terhadap rayuan tersebut.

Rayuan yang berlangsung selama lapan hari selesai selepas mahkamah mendengar hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Prosiding pada hari kelapan itu bermula pukul 3 petang dan berakhir kira-kira 50 minit kemudian.

Panel hakim yang mendengar rayuan Ketua Pembangkang itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.


Artikel Berikut

Artikel Lain