suria

Pemecatan Bendahari PAS Oleh Kerajaan DAP Dibidas

Iszuree Ibrahim

GEORGE TOWN: Pemecatan Bendahari PAS Negeri, Iszuree Ibrahim daripada Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) disifat sebagai pencabulan terhadap prinsip DAP sendiri yang selama ini sering melaung-laungkan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata belum pernah belaku anggota majlis disingkir keanggotaan dan peruntukan elaun mereka diberhentikan tanpa diberi peluang membela diri.

"Ini jelas melanggar kedailan semulajadi kerana beliau (Iszuree) dihukum tanpa diberi peluang untuk membela diri. Adakah ini prinsip CAT yang diamalkan kerajaan negeri. Sebelum ini kerajaan negeri melaungkan hak bersuara, namun dalam kes Iszuree, ia seakan tidak dipraktikkan.

"Tindakan yang dikenakan terhadap Iszuree seolah-olah satu bentuk hukuman untuk beliau 'menutup mulut'," katanya pada sesi soal-jawab persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.

Beliau mengemukakan soalan berhubung prosedur yang diguna pakai MPPP untuk melantik dan memecat anggota majlis dalam jawatankuasa tetapnya.

Iszuree disingkir daripada semua jawatan Jawatankuasa Tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor pada September lepas yang menegur kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP berhubung isu perumahan.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri, Chow Kon Yeow ketika menjawab soalan itu berkata pemecatan Iszuree dibuat berlandaskan prinsip CAT dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata mana-mana pelantikan, pemecatan dan pemberhentian peruntukan terhadap anggota Majlis hanya boleh ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri yang bertindak sebagai pihak berkuasa yang melantik mereka.

"Encik Iszuree Ibrahim masih belum dipecat daripada jawatannya sebagai anggota majlis MPPP," katanya.

Chow berkata Iszuree sepatutnya menggunakan jawatan Anggota Majlis itu sebagai platform untuk bersuara dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri dan bukannya pada muktamar parti.


Pulau Pinang, Bendahari PAS

Artikel Lain