suria

Mahkamah Isytihar Lelaki Berpakaian Wanita Di N. Sembilan Bukan Jenayah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, pada Jumaat mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Beliau berkata keinginan untuk berpakaian seperti wanita dan diiktiraf sebagai seorang wanita dikenal pasti sebagai sebahagian masalah dari segi perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi yang telah dibuktikan secara saintifik bagi mengatasi masalah seperti itu.

Hakim Hishamudin berkata penghidap GID akan terus hidup dalam keadaan tidak pasti, sengsara dan rasa malu sekiranya Seksyen 66 masih dikuatkuasakan, dan menurutnya ketetapan itu telah mewujudkan keadaan tidak selamat dan terdedah kepada penghinaan dalam kehidupan lelaki Islam yang menghidap GID.

"Undang-undang sedia ada menghukum golongan transeksual yang mempamerkan gender mereka, mencemarkan maruah dan nilai individu yang menghidap GID dalam masyarakat kita.

"Seksyen 66 secara langusng menjejaskan hak mereka untuk hidup secara bermaruah seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sekiranya nilai mereka sebagai anggota masyarakat diketepikan," katanya.

Artikel Lain