suria

Jururawat Maut Kereta Dipandu Rempuh Motosikal

JOHOR BAHARU: Seorang jururawat hospital swasta maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah motosikal di Km3, Jalan Kempas Baru di sini, malam Khamis.

Ungku Hariani Farahin Ungku Ra'thali, 23, yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, Azizan Anuar, 28, cedera parah. 

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 8.30 malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dari arah Setia Tropika itu hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan lalu merempuh motosikal terbabit," katanya ketika dihubungi.

Mohd Khamsani berkata siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan permukaan jalan terbabit basah kerana hujan lebat selain lampu jalan yang samar.

Beliau berkata mayat jururawat itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Artikel Lain