suria

Fatwa SIS Haram: Tiga MP PAS Tidak Bercakap Bagi Pihak Parti - PAS S'ngor

Iskandar Samad
PETALING JAYA: PAS Selangor menjelaskan bahawa tindakan tiga anggota Parlimen PAS yang mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor mengenai liberalisme dan pluralisme sebagai bukan pendirian parti.

"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan tiga ahli Parlimen yang mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor mengenai liberalisme dan pluralisme bukan pendirian kami," kata Pesuruhjaya PAS negeri Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan Jumaat.

"Laporan yang mendakwa bahawa tiga ahli Parlimen adalah sebahagian daripada kepimpinan PAS Selangor, salah seorang daripada mereka kononnya seorang timbalan pesuruhjaya, adalah tidak benar. PAS kesal dengan tindakan tidak profesional media berkenaan," katanya.

Iskandar berkata mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa secara terbuka adalah tidak betul kerana ia akan membuka fatwa lain untuk dipertikaikan.

"Keadaan seperti ini akan mengelirukan umat Islam. Mereka tidak membincangkan tindakan mereka ini dengan PAS Selangor walaupun kita mempunyai mesyuarat dengan wakil-wakil rakyat setiap hari Rabu," katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat tidak perlu bertindak secara bebas kerana mereka bertanding dalam pilihan raya umum atas tiket parti.

Tambahnya, tindakan mereka akan dilaporkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Pada Khamis, tiga Ahli Parlimen, iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Hanipa Maidin (Sepang) dan Khalid Samad (Shah Alam), mempertikaikan jawatankuasa tersebut berhubung keputusan sebelum ini bahawa 'pluralisme' dan liberalisme bertentangan dengan ajaram Islam.


SIS memfailkan semakan kehakiman kerana tidak berpuas hati dengan fatwa Mais terhadap pengharaman itu dengan alasan mereka tidak menentang sebarang undang-undang sebaliknya hanya menggunakan hak kebebasan sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain