suria

Elak Cukai: Kastam Rampas 16 Kereta Mewah

Sebahagian daripada 16 kereta mewah yang dirampas Kastam di sebuah rumah di Rawang pada Jumaat.
PETALING JAYA: Sebanyak 16 kenderaan mewah keluaran pelbagai syarikat terkemuka dirampas dalam operasi di Bandar Country Homes, Rawang.

Sepasukan pegawai penyiasat Jabatan Kastam Diraja Malaysia bertindak sedemikian dalam menyiasat kes membabitkan perbuatan cubaan mengelak membayar cukai.

Pemeriksaan ke atas rumah dua tingkat pada pukul 3 petang, Jumaat itu menemui kenderaan keluaran syarikat antarabangsa seperti Mazda, Audi dan Honda, termasuk yang memiliki nombor pendaftaran Singapura.


Dipercayai aras bawah kediaman itu digunakan khusus untuk menyimpan kenderaan yang kebanyakannya diubah suai sebelum didaftarkan semula di negara ini.

Sebanyak 12 kenderaan berkenaan dihantar ke Majlis Perbandaran Selayang untuk sementara, manakala bakinya akan menyusul kemudian.

Soal siasat di kalangan jiran mendapati mereka tidak tahu mengenai adanya sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang berlaku di kediaman itu.

Difahamkan, MPS akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah itu kerana mengubahsuai kediaman berkenaan tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan.


kereta mewah, cukai, kastam

Artikel Lain