suria

Elak Politik Kebencian - Hishammuddin

Hishammuddin menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai pada AHad.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan anggota Umno supaya mengelak daripada terjebak politik kebencian yang akan membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata anggota Umno wajar mencontohi kepimpinan pejuang Umno dahulu dalam mematahkan gejala politik kebencian yang mungkin cuba ditanam di hati rakyat sebelum ia melarat.

"Kalau kita tak teliti dan tak cari jalan bagaimana nak menanganinya, apa yang saya bimbang apa yang berlaku di negara-negara lain di luar sana tak mustahil akan menimpa kita juga.

"Jadi isu keselamatan, isu politik, hak dan kebebasan, isu landskap sosial media, semua ini mesti diterokai Umno. Jangan kita melakukan perkara yang sama...dalam berdepan situasi ini adalah penting untuk kita kembali kepada perkara asas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai kali ke-20 di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Hishammuddin menarik perhatian bahawa Umno dan kerajaan Barisan Nasional sehingga kini telah menempuh pelbagai cabaran, termasuk dalam mengendalikan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas dan pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata Umno perlu memberi perhatian kepada agenda orang Melayu di bandar bagi memastikan mereka kekal yakin dengan parti.

Persidangan perwakilan itu yang bermula semalam dan berakhir petang ini menyaksikan kira-kira 480 perwakilan daripada 57 cawangan mengambil bahagian.
Umno, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Lain