suria

91 Lesen Syarikat MLM Dibatal Sejak 2003

KUALA PILAH: Sebanyak 91 lesen syarikat yang terbabit dalam skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) telah dibatalkan atas kesalahan Akta Jualan Langsung dan Skim AntiPiramid 1993 dari 2003 hingga 1 Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata antara kesalahan tersebut ialah mengubah maklumat syarikat tanpa kebenaran dan mengemukakan maklumat palsu, mengelirukan dan tidak tepat.

"Oleh kerana perniagaan jualan langsung semkin popular dengan pengguna, maka sudah tentu adalah pihak yang tidak bermoral cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah dan cepat melalui penipuan," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa di Masjid Kariah Kampung Galau, Seri Menanti, dekat sini, Rabu.

Hasan, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata sebanyak 335 kes penipuan dengan nilai rampasan berjumlah RM7.99 juta dicatatkan bagi tempoh 2008 hingga 1 Julai lepas.

Beliau berkata industri jualan langsung di negara ini dijangka terus berkembang dengan sasaran sumbangan sebanyak RM54.5 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015).

Katanya, jumlah jumlah pemegang lesen jualan langsung telah bertambah sejak lima tahun ini dan kini terdapat 452 syarikat yang berdaftar di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim AntiPiramid 1993.

"Berdasarkan pelan pembangunan jualan langsung (2013-2020), industri ini menyasarkan sebanyak RM12 bilion pada tahun 2014 dengan jualan menokok dari enam peratus kepada 12 peratus setahun.

"Menjelang tahun 2020, keseluruhan sumbangan disasarkan berjumlah RM20 bilion," katanya.
Hasan Malek, MLM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain