suria

Aduan Sifar Terhadap Salah Laku Pegawai SPRM Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Aduan salah laku dan salah guna kuasa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menurun secara mendadak sehingga mencapai angka sifar tahun lalu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata aduan salah laku menurun kepada 12 kes pada 2009 berbanding 26 kes pada 2008, 12 kes (2009), satu kes (2011), dua kes (2012) dan sifar (2013).

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dilihat memberi impak positif dalam meningkatkan profesionalisme kerja-kerja siasatan pihaknya ialah melalui pengenalan Bilik Temu Bual Bervideo (VIR).

"Penggunaan VIR telah menyumbang kepada peningkatan kualiti kerja siasatan kami dan melalui adanya teknologi canggih untuk merakam segala perbuatan atau percakapan oleh suspek, maka kami dapat menyelesaikan tomahan orang ramai bahawa kami bertindak ganas ketika menjalankan siasatan.

"Ia juga menunjukkan ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan," katanya pada 'Bengkel Kewartawanan: Bersama SPRM Perangi Rasuah' di kompleks pejabat SPRM KL pada Selasa.

Mustafa berkata setakat ini SPRM dilengkapi 48 VIR di semua pejabatnya di seluruh negara, yang kos setiap satu VIR bernilai antara RM140,000 hingga RM200,000.

Antara inisiatif lain yang digunakan ialah penubuhan Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS) yang bertindak bagi menjalankan siasatan dengan lebih sistematik, efisien dan tangkas.

"Siasatan secara berpasukan ini telah memendekkan tempoh masa untuk menjalankan siasatan," katanya.

Mengenai prestasi kerja SPRM, beliau berkata pada 2012, sebanyak 69.91 peratus kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga bulan dan 99.34 peratus dalam tempoh enam bulan.

Kadar keyakinan masyarakat terhadap SPRM juga meningkat kepada kira-kira 66 peratus tahun lepas berbanding kira-kira 31 peratus pada 2009, tambahnya.

SPRM, salah laku, Mustafa Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain