suria

Kaji Semula Pemberian Subsidi Diesel - SPRM

SPRM merakamkan kegiatan penyeludupan diesel dalam operasi banteras penyeludupan minyak diesel subsidi di Johor tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, saranan ini sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian wang kerajaan.

Beliau berkata, sejak lima tahun lalu SPRM sudah melakukan 90 tangkapan membabitkan penyelewengan diesel meliputi pihak berkuasa dan kumpulan tidak bertanggungjawab.

"Jika ketirisan ini dapat dikurangkan, lebihan peruntukan itu boleh disalurkan kerajaan kepada perkara membabitkan kepentingan rakyat," katanya ketika ditemui selepas Bengkel Kewartawanan Bersama SPRM memerangi rasuah di sini.

Mengulas tentang kegiatan penyelewengan subsidi diesel baru-baru ini, Abu Kassim berkata, hasil siasatan mendapati mereka yang terbabit begitu mudah cuba merasuah pihak berkuasa dan ini menyebabkan penguatkuasa terpanggil untuk mengambil tindakan tegas terhadap perasuah.

Abu Kassim juga menggesa pihak berkuasa dan orang ramai tampil mengemukakan aduan berhubung kegiatan itu bagi membantu SPRM membendung penyelewengan diesel dan memberi jaminan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Artikel Lain