suria

PRK Kajang: PAS Pusat, Selangor Jamin Bantu Jentera Pilihan Raya PKR

Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: PAS Pusat dan PAS Selangor memberi jaminan akan membantu jentera pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdasarkan kerjasama Pakatan Rakyat dan keperluan bersama.

Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu telah diperbincangkan dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada malam Isnin antara lain mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

“Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan keperluannya dalam menghadapi PRK ini.

“Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abdul Hadi bagaimanapun menegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor tidak berbangkit dalam mesyuarat tersebut.

Sementara itu, katanya, mesyuarat tersebut turut mengecam Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh yang memutuskan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas Menteri Pertanian dan Menteri Industri Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami.

“Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan pelbagai ancaman ketika perbicaraan.

“PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa,” kata Abdul Hadi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain