suria

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Jadi Ageda Utama Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera masih menjadi agenda paling utama dalam usaha Malaysia mencapai negara maju berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat usaha memantapkan ekonomi orang Melayu sebagai satu cabaran hebat dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang.

"Menyedari hasil keputusan PRU-13 yang lalu kita dapati sokongan masyarakat Melayu terhadap Umno lebih hebat dan cukup besar. Dan ini membuktikan harapan diletakkan begitu tinggi terhadap apa yang harus kita (kerajaan) lakukan. "Menjelang 2020 Malaysia akan mencapai tahap negara maju, kalau negara maju tapi orang Melayu miskin, orang akan kata Malaysia masih belum layak," katanya ketika berucap pada majlis meraikan kemenangan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno pada Khamis.

Majlis itu adalah anjuran Badan Pemikir Agenda Malaysia (Bapama) di sini. Bapama ditubuhkan bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperkasa ekonomi Bumiputera. Muhyiddin menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti untuk tempoh 2013-2016.

Muhyiddin berkata ini kali pertama beliau menang tanpa bertanding sejak beliau memegang jawatan dalam parti pada 1991. "Sejak pegang jawatan dalam parti mesti melalui proses pemilihan yang pastinya ada naik dan turun.

"Ini kali pertama saya menang tidak bertanding. Inilah nasib orang politik ada naik dan turun, tidak selalunya mudah," katanya yang pernah kalah ketika bertanding merebut jawatan Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi.

Beliau berkata itu adalah proses biasa yang akan dilalui oleh pemimpin dan perlu dianggap sebagai ujian untuk menguji ketabahan individu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain