suria

Usah Lagi Salah Tanggap Peranan Ling Dalam PKFZ - Dr Chua

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Tun Dr Ling Liong Sik sepatutnya menghapuskan sebarang salah tanggapan tentang peranan beliau dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dr Ling atas pembebasan beliau daripada tuduhan menipu berkaitan projek PKFZ dalam satu kenyataan hari ini, Dr Chua berkata MCA sentiasa meyakini integriti Dr Ling dalam melaksanakan tugasnya sebagai presiden MCA dan menteri Kabinet.

Menurut beliau MCA sentiasa yakin bahawa sistem kehakiman di negara ini bersifat adil dalam menunaikan tanggungjawabnya. "Seseorang itu tidak bersalah melainkan dibuktikan kesalahannya dan kini Dr Ling dapat kembali menikmati kehidupan bersama keluarganya setelah menghabiskan masa lebih tiga tahun untuk membuktikan beliau tidak bersalah," kata Dr Chua.

Mahkamah Tinggi pada Jumaat membebaskan dan melepaskan bekas menteri pengangkutan itu daripada tuduhan menipu kerajaan berkaitan projek PKFZ.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi berkata pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah bagi semua pertuduhan yang dikenakan terhadap Dr Ling. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain