suria

Keharmonian & Toleransi Masyarakat Berbilang Kaum Asas Penting Keutuhan Malaysia

KUALA LUMPUR: Keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum adalah asas terpenting yang perlu dipupuk untuk menjadi tunjang dan tonggak negara Malaysia yang utuh, berwibawa dan dihormati, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanpa keharmonian dan toleransi, setiap usaha pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana rakyat sentiasa bercakaran sesama sendiri sekali gus kelak melumpuhkan kesejahteraan yang diusahakan sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi.

"Kita harus akui dan memberi pengiktirafan kepada setiap usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan pada masa sama mengisi keperluan rakyat secara keseluruhannya, tugas itu tidak mudah dan menuntut komitmen serta pengorbanan yang bukan sedikit," katanya dalam perutusan sempena Jubli Emas Hari Malaysia ke-50 yang akan disambut pada Isnin.

Tegas Muhyiddin, kerajaan sejak zaman kepimpinan Almarhum Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sehingga sekarang, tidak pernah mengetepikan hak rakyat di negara ini biar apa pun kaum atau agama anutan mereka.

Katanya Perlembagaan Persekutuan menjadi asas serta panduan bagi memastikan hak asasi rakyat tidak disisihkan, dan kerajaan, dari semasa ke semasa, melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk mengisi keperluan rakyat baik dalam bentuk pembangunan fizikal mahupun pengisian rohani.

Justeru, Muhyiddin menggesa semua rakyat Malaysia agar mensyukuri setiap nikmat yang telah dan akan diperoleh.

"Hakikatnya, tanpa sumbangan serta penglibatan setiap golongan masyarakat di Malaysia, kita tidak akan dapat berdiri seperti sekarang ini," katanya.

Juga penting, kata Muhyiddin, adalah memastikan gandingan rakyat dan pemerintah yang mantap diteruskan supaya Malaysia dapat terus membangun dan gemilang.

Katanya rakyat yang kuat dan pandai membuat penilaian tidak akan terjerumus ke dalam apa juga kancah yang cuba ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata kerajaan menerusi dasar dan program yang diperkenalkan termasuk yang terbaharu, Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, sentiasa memberi ruang yang amat luas kepada rakyat Malaysia tanpa ada sempadan atau batasan baik di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak, rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menekankan signifikannya sambutan Jubli Emas Malaysia, Muhyiddin berkata penyatuan negeri-negeri di Semenanjung tanah air dengan Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan negara Malaysia yang unik, harmoni dan pesat membangun.

"Sejarah membuktikan bahawa usaha menyatukan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bersandarkan hasrat murni barisan kepimpinan terdahulu yang mahu melihat Malaysia secara keseluruhannya bergerak seiring dalam mengisi denyut nadi pembangunan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata penyatuan jiwa bangsa di bawah nama Malaysia dapat menyerlahkan lagi keunikan serta kepelbagaian penduduk di negara ini sekali gus menjadikannya destinasi menarik sehingga menimbulkan rasa kagum masyarakat luar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AES Diserah Kepada PDRM

Artikel Lain