suria

Manifesto BN Kelantan Daulatkan Islam, Tidak Pinggir Kaum Minoriti

KOTA BAHARU: Manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) Kelantan yang dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam disifatkan beberapa pihak sebagai langkah untuk mendaulatkan agama Islam tanpa meminggirkan kaum minoriti di negeri ini.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad berkata manifesto untuk memartabat Islam di negeri ini jika berjaya menguasai Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), wajar dipuji kerana tidak pernah dilakukan kerajaan negeri pimpinan PAS.

"PAS sebelum ini tak pernah bantu sekolah pondok, cuma elaun diberi kepada tok guru pondok yang menjadi mubaligh PAS. Itupun kami yang kena kutip derma untuk beri elaun tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Semalam, BN Kelantan dalam Manifesto atau Aku Janji BN khas untuk Kelantan bertema 'Rakyat Dihati Janji Ditepati', berjanji mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan ke arah memajukan Kelantan berpaksikan Islam di atas prinsip maqasid syariah.

Antara kandungan aku janji itu ialah mempertingkat kualiti sekolah agama rakyat serta membenar pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan infrastruktur pendidikan kerajaan, serta menyediakan bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Wan Ismail berkata transformasi yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata memberi kelebihan kepada parti itu meraih kepercayaan masyarakat Islam di negara ini untuk memberi sokongan kepada Umno dan BN pada PRU13.

"Umno dahulu dengan Umno sekarang berbeza. Tak ada pemimpin Umno yang beri pelbagai bantuan seperti dilakukan Najib. Perubahan untuk kebaikan lebih banyak daripada dahulu, dan jelas niat Umno untuk mendaulatkan Islam.

"Berbeza dengan PAS yang buat projek, tapi hanya utamakan penyokong mereka sahaja," katanya.

Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Minda Pondok, Mohd Shamsul Mohd Yusuf al-Hafiz, berkata manifesto tambahan yang dikemukakan BN Kelantan menunjukkan parti itu komited untuk meninggikan syiar agama Islam di negeri ini.

"Kerajaan negeri dahulu ada beri bantuan kepada pondok di Kelantan tapi sekejap sahaja. Lepas itu bantuan tak ada, tanya khabarpun tidak sedangkan orang pondok inilah yang bantu naikkan PAS pada 1990-an dahulu," katanya. Mohd Shamsul berkata orang pondok kini ingin turut serta melakukan perubahan dengan menyokong BN dan Umno selepas melihat PAS yang kini tersasar jauh daripada landasan untuk memperjuang Islam selepas bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan KC Ngiam anak perempuan Eh Kuan berkata aku janji BN Kelantan bagi masyarakat bukan Melayu di negeri ini ternyata membela nasib mereka selepas dipinggir kerajaan negeri pimpinan PAS.

"Kita sokong apa yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan Tok Pa (Mustapa) kerana ia beri banyak kebaikan kepada masyarakat bukan Melayu di negeri ini. "Kita merasa terbela dengan langkah yang diambil BN, terutama selepas Perdana Menteri turut memberi peruntukan sebanyak RM200,000 setahun kepada kami untuk golongan remaja mempelajari bahasa Siam," katanya.

Antara kandungan aku janji bagi masyarakat bukan Melayu adalah geran tahunan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina dan Tamil), geran tahunan untuk kelas Bahasa Siam dan Dhamma serta tabung kebajikan masyarakat bukan Islam.

Selain itu, menyediakan tapak perkuburan Cina, India, Sikh, Kristian, Siam dan Orang Asli selain penyelenggaraan rumah ibadat, pusat pembakaran mayat dan tanah kubur serta menjamin semua hak kaum minoriti terbela seperti termaktub dalam perlembagaan. -BERNAMA

Artikel Lain