suria

Kes Remaja Ditembak Polis: Keputusan Ke Atas Kop Jenain 5 Disember

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Disember ini untuk memutuskan rayuan anggota polis, Koperal Jenain Subi terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didapati bersalah menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Peguam M.Athimulan dan Salim Bashir hadir bagi pihak Jenain selaku perayu sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani mewakili responden.

Selain Jenain, pihak pendakwaan dalam kes itu turut mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Datin Latifah Mohd Tahar pada 15 Sept tahun lepas.

Jenain, 49, yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Terdahulu, Athimulan berhujah tiada saksi kejadian yang boleh membuktikan bahawa Jenain telah menembak mangsa.

Beliau berkata, tiada bukti forensik juga untuk mengaitkan peluru yang mengenai kepala Aminulrasyid dengan senjata yang digunakan oleh anggota polis itu.

"Hakim yang bijaksana gagal mempertimbang hujah yang saya sebutkan. Keterangan pendakwaan sendiri menunjukkan Jenanin tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa. Dia menjalankan tugas mengikut undang-undang memberhentikan kenderaan yang bergerak laju.

"Pada asasnya, tujuannya adalah untuk memberhentikan kenderaan. Malah jika tembakan adalah tindakan Jenain, ia tidak disengajakan. Orang ini menjalankan tugas selepas mendengar arahan," katanya.

Idham berhujah tertuduh sendiri dalam pembelaannya sebelum ini mengakui bahawa semasa di Jalan Tarian, kereta yang dipandu mangsa sudah tidak laju dan tidak membahayakan memandangkan kawasan itu ialah kawasan perumahan.

Beliau berkata, dalam keadaan itu Jenain tidak sepatutnya melepaskan tembakan sebaliknya mengadakan sekatan jalan raya.

Dusuki berhujah keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah wajar dan tepat berdasarkan penilaian menyeluruh dengan mengambil kira keterangan yang diberikan oleh kedua-dua pihak.

"Oleh itu, keputusan sabitan oleh hakim hendaklah dikekalkan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain