suria

Rawatan TCM Di Banyak Lagi Klinik Kerajaan - Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merancang meluaskan lagi khidmat rawatan perubatan tradisional dan pelengkap (TCM) di klinik-klinik kerajaan menjelang tahun depan, kata menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kementerian sudahpun membuka unit TCM pertama di Klinik Kesihatan Masai di Johor, selain khidmat TCM yang sedia ada di 11 hospital kerajaan termasuk unit ke-11 di Hospital Pemulihan Cheras yang mula beroperasi awal bulan ini. "Unit TCM menyediakan urutan tradisional Melayu, rawatan selepas bersalin cara Melayu, Shirodhara, akupunktur dan onkologi herba sebagai tambahan bagi pesakit kanser," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perubatan Tradisional di negara Asean di sini, Isnin.

Persidangan tiga hari itu bertemakan 'Ke Arah Mengharmonikan Amalan Perubatan Tradisional' turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan(Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Maimunah Abdul Hamid dan Pengarah Bahagian TCM Kementerian Kesihatan, Dr Goh Cheng Soon.

Liow berkata di Malaysia, TCM diklasifikasikan di bawah enam kumpulan utama, iaitu amalan perubatan Islam, rawatan tradisional Melayu, tradisional Cina, tradisional India, homeopati dan rawatan pelengkap.

"Rawatan tradisional sudah memberi sumbangan bermakna terhadap penjagaan kesihatan komuniti di Malaysia dan terus dicari oleh mereka yang memerlukan pelbagai bentuk rawatan selain untuk memelihara kesihatan," katanya.

Liow berkata beliau tertarik dengan belanja menjaga kesihatan yang rendah di China yang didapati lebih rendah lagi daripada kos di Malaysia.

"Perbelanjaan yang rendah ini disebabkan perubatan tradisional dan pelangkap bagitu luas digunakan dalam sistem penjagaan kesihatan di negara berkenaan. Oleh yang demikian, Malaysia boleh meniru khidmat rawatan kesihatan yang terdapat di China," katanya.

Beliau berkata TCM adalah alternatif terbaik kepada perubatan moden kerana kosnya minimum, peluang baik untuk pulih, di samping ia dapat menolong mencegah menghidap penyakit. "Dalam perubatan moden, doktor akan mencadangkan antibiotik kepada pesakit yang demam tetapi bagi TCM, ia berkesan sebagai langkah pencegahan," kata Liow. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain