suria

Tokoh Bahasa Dr Awang Sariyan Kini KP DBP

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan telah dilantik sebagai ketua pengarah yang baru berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau mengantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai ketua pengarah DBP pada 31 Januari.

Termuzi menyandang jawatan tersebut sejak 1 Februari 2009.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat DBP, satu majlis serahan tugas telah pun diadakan pada 31 Januari lalu di bilik mesyuarat Tun Perak, di ibu pejabat DBP di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Md. Salleh Yaapar, pengarah-pengarah jabatan dan juga ketua-ketua bahagian DBP.

Profesor Dr Awang Sariyan sebelum ini pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University dari Januari 2008 hingga Julai 2011).

Sebelumnya beliau merupakan pengarah Jabatan Bahasa, DBP.

Beliau juga pernah menyandang jawatan profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia dan profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, selain pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Beliau juga pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Beliau turut dilantik menjadi perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand).

Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah.

Beliau pernah menjadi presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain