suria

Tan Sri Hamad Kama Piah Dipilih Tokoh Ahli Perniagaan 2011 AAM/USM

GEORGETOWN: Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dipilih sebagai Tokoh Ahli Perniagaan 2011 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Anugerah itu disampaikan bersama oleh Presiden AAM Zamri Ahmad dan Naib Canselor USM Datuk Omar Osman selepas Hamad Kama Piah menyampaikan ucaptama bertajuk "Transforming Asian Business Through Innovation for a Sustainable Tomorrow" pada persidangan AAM di sini, Jumaat.

Omar berkata anugerah itu sebagai pengiktirfan terhadap ketokohan dan kewibawaan Hamad Kama Piah yang membawa PNB setanding syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain seperti Petronas dan Khazanah Nasional.

"Pemilihan beliau bertepatan kerana ketokohannya setanding dengan penerima-penerima sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata penerima anugerah itu sebelum ini ialah mendiang Tan Sri Bek- Nielsen dari United Plantations, Tan Sri Fumihiko Konishi (Texchem Corporation), Datuk Jamaluddin Ibrahim (Maxis), Datuk Sri Ahmad Farid Ridzuan (Media Prima) dan Datuk Seri Eleena Azlan Shah (Gamuda Berhad).

Omar berkata AAM turut menganugerahkan keahlian sepanjang hayat kepada empat tokoh yang telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa dalam bidang akademik dan industri.

"Selain diri saya, turut menerimanya adalah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Urusan Texchem Corporation Brian Tan, Pengarah Urusan Seletra Industries Tahiruddin Tun Hamdan," katanya.

AAM adalah sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di USM sejak tahun 1994. - BERNAMA

Artikel Lain