suria

Inspektor Polis Dipenjara Dan Didenda Terima Suapan RM3,000

SHAH ALAM: Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, selepas didapati bersalah memperoleh suapan RM3,000 daripada seorang lelaki Bangladesh lapan tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati Jamil Osman, 40, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Jamil juga boleh dipenjara selama 15 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Jamil membayar denda hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mengendalikan pendakwaan manakala Jamil diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim dan Azzizul Shahriman Mat Yusof. Jamil dituduh memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada Md Kamaruzzaman a/l Nur Mohammed Howlader sebagai dorongan untuk tidak menangkap lelaki itu kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan membuat permit pekerja asing palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 11 di sini pada 2 Sept 2003.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sepanjang perbicaraan seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Nov 2009 memerintahkan Jamil membela diri bagi tuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 5 Dis 2008.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan tertuduh daripada satu lagi tuduhan iaitu meminta suapan RM20,000 daripada Md Kamaruzzaman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain