suria

Ramai Pakar Motivasi, Penulis Buku Tipu Kelayakan Akademik - Kamal Affendi

PETALING JAYA: Ramai pakar motivasi dan penulis buku di negara ini memalsukan kelayakan akademik mereka.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim mendakwa, beliau hairan dengan situasi berkenaan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

"Dalam konteks melibatkan kelayakan akademik seseoang, terdapat dua keadaan sama ada melakukan penipuan secara terang-terangan atau diperdaya.

"Saya hairan dalam ramai yang menipu, kenapa mereka berkenaan tidak diambil tindakan? Perkara ini yang sepatutnya diberikan perhatian sewajarnya," tegasnya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Dalam pada itu Kamal menasihatkan supaya semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kontroversi Kolej Antarabangsa Fazley (FIC).

Beliau berkata, perkara itu sekadar dakwaan dan masih belum ada pengesahan mengenai kebenarannya.

"Kita jangan terlalu cepat menghukum. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan bagi memperhalusi dakwaan tersebut.

"Biarkan dulu dan lihat perkembangan sehingga siasatan lebih matang dan memberi keputusan lebih tepat," katanya.

Ini katanya, termasuk pertimbangan lain seperti bagaimana keadaan seperti itu boleh berlaku.

Kamal berkata, kes itu tidak wajar diperbesar-besarkan sehingga menjejaskan reputasi FIC kerana ia tiada kaitan dengan kualiti pendidikan yang ditawarkan kerana ia sudah melepasi penilaian audit sebelum membolehkannya beroperasi.

Berhubung siasatan, kemungkinan terdapat unsur diperdaya dan kebarangkalian disebabkan masalah teknikal, bukan masalah peribadi atau kredibiliti yang diperbesarkan banyak pihak.

"Bagaimanapun, biarlah siasatan dilakukan bagi mengesahkannya sama ada benar atau tidak," katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi kini sedang melakukan siasatan terhadap FIC bagi memastikan kolej kendalian penyanyi itu mematuhi garis panduan yang membolehkan ia beroperasi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden pada Rabu berkata, kelayakan akademik bukan syarat utama yang ditetapkan sekiranya seseorang mahu membuka kolej swasta di negara ini.

Namun katanya, pensyarah berkelayakan dan mencukupi serta prasarana yang baik perlu disediakan sebagai kriteria utama sebelum sesebuah kolej beroperasi.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam program Week In Week Out: University Challenged baru-baru ini mendakwa penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini, Ahmad Fadzli Yaakob atau Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dengan kerjasama University of Wales.

Dalam program itu, Fazley dituduh memiliki kelulusan itu dari sebuah European Business School iaitu sebuah universiti antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada tahun 2008.

Ekoran dakwaan itu, universiti yang terletak di United Kingdom itu menggantungkan hubungannya dengan FIC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain