suria

Zaid Hairan Peribadi Jadi Sasaran Anwar

KOTA BAHRU: Datuk Zaid Ibrahim yang menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata beliau hairan dengan perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang peribadinya.

"Saya hanya ingin bertanding dan pada waktu yang sama ada laporan mengenai kecacatan timbul pada pemilihan parti di peringkat cabang parti, jadi saya suarakan perkara itu. Apabila saya bersetuju untuk bertanding, tiba-tiba hal peribadi saya diserang, saya perlu jawab untuk pertahankan diri saya.

"Saya tidak tahu apa yang dia takut, saya bukannya masyhur seperti dia yang terkenal seluruh dunia," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Khamis.

Pada Isnin lepas Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan parti dan juga melepaskan semua jawatan dalam PKR dengan alasan terdapat penipuan dalam pemilihan.

Beliau kemudiannya meminta Anwar berundur daripada parti itu.

Zaid berkata menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.

"Saya rasakan inilah taktik kepimpinan parti untuk alihkan isu sebenar dari mata umum, dengan menyerang saya. Hakikatnya bukan saya seorang sahaja yang bersuara, ada lagi pemimpin parti lain menyuarakan masalah yang sama," katanya.

Zaid berkata Anwar tidak wajar menjadi pemimpin negara, jika pakatan pembangkang memerintah, kerana penasihat PKR itu hanya pandai mereka cerita terhadap individu yang tidak disukainya tanpa sebarang bukti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain