suria

BAJET 2011: Skim Rumah Pertamaku Bantu Golongan Berpendapatan Kurang RM3,000 Miliki Rumah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

"Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Dalam erti kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim," katanya ketika membentangkan Bajet 2011, bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi", di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pada masa sama, hanya pembeli rumah pertama akan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi RM350,000.

"Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama tersebut," katanya.

Bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, Najib berkata kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional.

"Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet, warganegara Malaysia, untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua," katanya.

Bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah memiliki rumah yang selesa, Najib berkata sejumlah RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain