suria

Tertuduh Kes Enjin Pesawat Hilang Didakwa Lagi

PETALING JAYA: Dua tertuduh yang didakwa berhubung kehilangan enjin pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada awal tahun lalu, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, atas pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Sarjan N. Tharmendran yang didakwa bersubahat mencuri dua enjin pesawat TUDM sebelum ini, didakwa melakukan kesalahan itu melibatkan jumlah RM62,000 manakala pengarah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad yang didakwa bersubahat menghapuskan enjin itu pula menghadapi tuduhan sama membabitkan nilai RM437,319.50.

Seperti juga kes-kes sebelum ini, Tharmendran, 42, yang pernah berkhidmat di TUDM Sungai Besi, dekat sini dan Rajandran, 38, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Tharmendran didakwa atas tiga pertuduhan, iaitu melibatkan diri dalam transaksi pengeluaran wang haram RM35,000 menerusi akaunnya pada 25 Mac 2008, RM23,000 pada 1 April dan RM4,000 pada 28 April 2008.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad di nombor 1, Jalan USJ 10/1F, Subang Jaya, dekat sini.

Dia kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Meskipun pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayub, jaminan tertuduh ditetapkan oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang akan mendengar perbicaraan kes tersebut.

Hayatul Akmal menetapkan jaminan terhadap tertuduh pada jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Rajandran, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Balqis Aini Ali terhadap lima pertuduhan melakukan kesalahan itu dengan menggunakan wang RM200,000 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui cek milik P&P Aviation Supplies Shares untuk bayaran bagi pembelian Redeemmeble Prefernce Share dalam Bastino Group Berhad, pada 29 Mei 2008.

Tertuduh juga didakwa mengulangi kesalahan itu dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi penunaian wang berjumlah RM200,000 yang merupakan hasil aktiviti haram pada 10 Jun 2008.

Pertuduhan seterusnya dibacakan di hadapan Hayatul Akmal, iaitu melibatkan tuduhan menggunakan wang berjumlah RM9,203.50 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui cek untuk membayar khidmat guaman, duti setem dan perbelanjaan lain bagi pembelian sebuah apartment di Bangsar atas nama S. Shila, 29, pada 18 April 2008.

Tertuduh juga didakwa menggunakan wang berjumlah RM24,800 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk membayar deposit bagi pembelian sebuah apartment di Bangsar kepada George Devayanagaran Anand, pada 18 April dan 21 April 2008.

Seterusnya, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu iaitu menggunakan wang berjumlah RM3,316 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk pembayaran kepada Oceanic Aquarium, pada 18 April dan 24 April 2008.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di HSBC Bank Malaysia Berhad Aras Bawah, Wisma UEP, Jalan USJ 10/1A pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya.

Hayatul Akmal kemudiannya membenarkan supaya jaminan Rajindran sebanyak RM150,000 di dalam kes enjin pesawat TUDM terpakai dalam semua pertuduhan baru terhadapnya dan menetapkan 6 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi manakala Tharmendran diwakili peguam N. Surendran manakala peguam Rajinder Singh mewakili Rajindran.

Pendakwaan terbaru ini merupakan yang ketiga untuk Tharmendran, iaitu selepas memandangkan dia juga pernah didakwa di Mahkamah Tentera pada 2006 atas tuduhan menerima harta curi sebelum didakwa bersubahat mencuri enjin pesawat itu pada awal tahun lalu.

Artikel Lain