Purata 30 AJK Surau Di Selangor Letak Jawatan Setiap Bulan - JAIS

SHAH ALAM: Kira-kira 30 anggota jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor termasuk nazir, bendahari dan imam meletak jawatan setiap bulan disebabkan tiada persefahaman sesama mereka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata perkara itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pemilihan AJK yang dibuat menerusi mesyuarat agung.

"Setiap bulan saya perlu tandatangan peletakan jawatan AJK purata antara 20 ke 30 orang. Jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kesemua AJK di negeri ini iaitu kira-kira 8,000 orang, tetapi kalau tidak diatasi takut menjadi perbalahan dan mendatangkan masalah kepada pengurusan masjid dan surau," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata rasa tidak puas hati juga timbul berhubung pelaksanaan projek, sumbangan serta ketiadaan kerjasama antara mereka menyebabkan ada yang menjalankan tugas orang lain.

"Seperti contoh di Kuala Langat, ada orang beri sumbangan tidak melalui nazir dan bendahari tetapi terus beri kepada bilal dan bilal pula terus lantik kontraktor untuk melaksanakan projek. Bendahari dan nazir tidak tahu kerana tiada kerjasama.

Sistem dan senarai tugas dah ada tetapi ada yang buat tugas orang lain.

"Sepatutnya bilal kena maklumkan bendahari dan nazir tetapi dia terus buat, ini menunjukkan tiada ketelusan. Banyak lagi sebab seperti penceramah, biro agama nak panggil orang ini, nazir pula tidak setuju," katanya.

Mohammed Khusrin berkata sikap sedemikian tidak harus wujud dan seharusnya AJK masjid dan surau tidak memperbesarkan isu-isu yang remeh sehingga boleh menggugat persaudaraan sesama umat Islam.

Mereka sepatutnya melaksanakan tugas demi kepentingan agama, bukan kepentingan peribadi atau kelompok tertentu, katanya.

Mengulas perkembangan lain, Mohamed Khusrin berkata hanya sekitar 40 peratus penceramah yang berceramah di masjid dan surau negeri itu mempunyai tauliah manakala selebihnya sukar dipastikan kerana tidak menyertakan maklumat lengkap.

"Dari laporan yang kita terima dan kumpulkan dari semua masjid dan surau daerah, kita dapati ada borang membabitkan maklumat peribadi penceramah yang memberi ceramah tidak lengkap seperti tidak meletak nama penuh, kad pengenalan dan nombor rujukan tauliah," katanya.

Sehubungan itu, Mohammed Khusrin meminta agar AJK masjid dan surau bekerjasama dengan mengemukakan maklumat penceramah yang lengkap menggunakan borang yang disediakan serta menghantar laporan tersebut kepada JAIS setiap bulan.

"Kita juga mengharapkan agar semua AJK membantu mereka yang tidak bertauliah supaya memohon tauliah bagi memastikan setiap perkara yang disampaikan oleh penceramah memberi kesan positif kepada perpaduan umat Islam," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Artikel Lain