suria

Jenazah Ketua Puteri Umno Ampang Selamat Dikebumikan

HASLINDA MOHD. ZERAIN
HASLINDA MOHD. ZERAIN
HASLINDA MOHD. ZERAIN

PETALING JAYA: Jenazah Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang, Haslinda Mohd. Zerain selamat dikebumikan sebelum solat Asar petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Ulu Kelang.

Haslinda, 37, meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Ukay di sini hari ini kerana sakit jantung.

Beliau yang masih bujang, menghembuskan nafas terakhir di ruang tamu rumahnya pada 11.35 pagi dan hanya disedari oleh ibunya Datin Rahimah Abdullah beberapa minit kemudian ketika mahu mengejutkannya kerana menjangka beliau tertidur di sofa.

Adik lelaki Allahyarham, Mohd Afdan, 33, berkata kakaknya dimasukkan ke Institut Jantung Negara selama sebulan bagi menjalani rawatan sebelum dibenarkan pulang tiga minggu lepas.

"Sakitnya dikesan lima tahun lalu namun sejak tiga minggu lepas, beliau dibenarkan pulang ke rumah dan tahap kesihatannya semakin teruk sejak dua minggu lepas," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Bapa Allahyarham, Datuk Dr Zerain Abdul Majid, 60, berkata Haslinda yang merupakan anak sulung dari tiga beradik, banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga sejak tahap kesihatannya merosot.

"Sejak tiga minggu lalu, Haslinda tidak keluar rumah dan tidak mahu berenggang dengan saya dan isteri," katanya, sambil menyifatkan Haslinda seorang yang sangat periang dan aktif.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang sebelum solat asar.

Menyoroti sejarah pembabitannya dalam bidang politik, Haslinda, 36, pernah bertanding jawatan Naib Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti Umno tahun lalu.

Bagaimanapun beliau tewas kepada Shahanim Mohamad Yusoff dalam pemilihan itu.

Jawatan terakhirnya dalam parti ialah dilantik sebagai Exco pergerakan berkenaan.

Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini merupakan kali pertama melibatkan perebutan jawatan Naib Ketua Puteri UMNO yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Beliau juga pernah bertanding pada pilihan raya umum tahun 2008, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Bagaimanapun, Haslinda mendapat 10,350 undi tewas kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali(11,731 undi) di kerusi berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain