suria

Nazri tiada hak minta PPP keluar BN

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Maglin D. Cruz membidas Datuk Seri Nazri Aziz sambil menegaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mempunyai hak untuk menyuruh parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN).

"Siapa dia (Nazri) nak bercakap demikian?

"Dia ingat dia Perdana Menteri ke nak suruh kami keluar dari BN,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Nazri kelmarin bahawa parti itu harus keluar segera kerana hubungan antara parti komponen dalam BN memerlukan persefahaman.

Jelas Maglin, hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berhak membuat sebarang keputusan terhadap parti itu dan pihak-pihak lain tidak perlu "jadi penyibuk."

"Jangan jadi penyibuk. Lebih baik dia (Nazri) beri komen tentang Umno bahagiannya dan kerajaan. Hanya Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN boleh buat keputusan," ujarnya.

Beliau juga menyifatkan masalah yang berlaku adalah satu masalah keluarga dan ia boleh diselesaikan dan parti itu menerima jawapan yang diberikan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN minggu lalu.

"Saya ada dalam sidang akhbar itu, jadi saya tahu Perdana Menteri hanya menjawab soalan yang dikemukakan oleh media dan bukannya menyuruh kami keluar dari BN," katanya.

PPP terus mendesak BN meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan jika tiada perubahan dilakukan oleh BN berhubung tuntutan meminda ISA menjelang pilihan raya umum akan datang, "barulah parti akan membuat keputusan meninggalkan BN."

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas penasihat parti itu, S.I Rajah, Maglin enggan memberi ulasan lanjut.

"Dia( Rajah) bukan lagi ahli parti, dia telah dipecat. Saya tak akan beri sebarang kenyataan mengenai dia," katanya.

Rajah dipecat kerana meminta Kayveas meletakkan jawatan minggu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain